Berita SemasaLuar Negara

Rusuhan di Bangladesh: Pelajar Malaysia sudah dipindah ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia

PUTRAJAYA – Kumpulan pelajar Malaysia di Bangladesh telah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara itu susulan protes yang sehingga kini telah mengorbankan ratusan nyawa.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, keselamatan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan pihaknya dan kerajaan memahami kebimbangan ahli keluarga ketika ini.

“Selain menilai dengan teliti akan perkembangan terhadap situasi semasa, kementerian ini dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia mempertimbangkan semua opsyen yang ada termasuk evakuasi jika perlu.

“Kementerian ini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta agensi lain yang b erkaitan dalam usaha untuk membantu pelajar Malaysia di Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Protes golongan pelajar di Bangladesh dilaporkan semakin teruk selepas pertempuran antara kumpulan pelajar dengan pihak berkuasa negara itu yang telah mengorbankan lebih 150 orang.

Protes dimulakan pelajar bagi menggesa kerajaan menghapuskan sistem kouta mendapatkan pekerjaan yang memberi kelebihan kepada anak-anak bekas tentera negara itu.

Dalam pada itu, Kementerian memohon semua pelajar Malaysia berhubung dan bekerjasama dengan pihak Suruhnajaya Tinggi Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh digesa untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

Kementerian juga mengingatkan rakyat Malaysia berhati-hati terhadap individu yang menjanjikan bantuan untuk rakyat Malaysia di Bangladesh dengan melakukan semakan dengan Bilik Operasi.

Bilik operisi telah dibuka di Kementerian dan boleh dihubungi di nombor 603-88874570 atau melalui emel taskforcebangladesh@kln.gov.my

 

Show More

Related Articles

Back to top button