Lagi kes tertinggal anak dalam kereta, bayi perempuan meninggal dunia
PETALING JAYA – Seorang bayi perempuan berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di Ara Damansara, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan ibu mangsa yang berusia 30an menyatakan anaknya dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta, pada pukul 3.49 petang.
“Hasil siasatan mendapati, ibu mangsa telah menghantar dua anaknya ke sekolah dan seterusnya pergi ke tadika berhampiran untuk menghantar mangsa, pada pukul 7 pagi.
“Ketika tiba di tadika, ibu mangsa berhenti seketika untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di lokasi.
“Ibu mangsa kemudian terus pulang ke rumah dan hanya menyedari mangsa berada di dalam kereta pada pukul 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, bapa mangsa telah membuat panggilan kecemasan dan telah memberi rawatan awal kepada mangsa sehingga pihak ambulans dan polis tiba di tempat kejadian.
“Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan namun telah disahkan meninggal dunia.
“Proses bedah siasat akan dijalankan hari ini,” katanya sambil menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mohamad Fakhrudin turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan lebih bertanggungjawab dan mementingkan keselamatan anak di bawah jagaan masing-masing.
“Orang ramaj yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya lagi.