Hamas nafi lancar peluru berpandu dari hospital di Gaza
SEMENANJUNG GAZA – Kerajaan Hamas di Gaza menafikan dakwaan daripada regim Zionis yang mengatakan pihak Hamas telah melepaskan tembakan peluru berpandu dari beberapa hospital di Gaza.
Menurut jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, beliau telah memaparkan imej yang dikatakannya menunjukkan pejuang Hamas melepaskan tembakan dari hospital Gaza dan satu lagi menunjukkan tapak pelancaran peluru berpandu yang hanya terletak kira-kira 75 meter dari hospital.
“Hamas meletakkan pasukan dan senjata di dalam, di bawah dan di sekitar sekolah, masjid, rumah serta kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Antara jenayah perang yang paling teruk dilakukan Hamas ialah menggunakan hospital untuk menyembunyikan infrastruktur keganasan mereka,” katanya memetik laporan AFP.
Hamas bagaimanapun berulang kali menafikan dakwaan itu dan awal pagi semalam mengatakan pihaknya terbuka untuk membenarkan pemantau antarabangsa memeriksa hospital untuk mengesan tanda-tanda penggunaan oleh pejuang.
Dalam pada itu, pihak Hamas mendakwa tentera Israel telah memperhebatkan pengeboman menyasarkan beberapa hospital di utara Semenanjung Gaza petang semalam, sejurus selepas telekomunikasi dimatikan.
“Selama lebih sejam, pengeboman hebat berlaku beberapa kawasan sekitar hospital,” kata Ketua Pejabat Media Kerajaan Hamas, Salama Marouf.
Menurutnya, kawasan sekitar hospital terbesar wilayah Palestin, Al-Shifa, menjadi sasaran serangan pengeboman bertubi-tubi.
Pengeboman itu dilakukan selepas regim Zionis itu sekali lagi mendakwa Hamas menggunakan hospital dalam kempen ketenteraan mereka terhadap tentera Israel.
Sejak perang bermula, Israel tidak henti-henti menyerang Semenanjung Gaza yang terkepung sepenuhnya dalam pertempurannya untuk memusnahkan Hamas, hingga serangan itu meratakan seluruh blok bandar.
Serangan yang dilakukan oleh regim Zionis itu telah mengakibatkan lebih 9,700 nyawa terkorban yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.
Serangan ke atas Gaza berlaku selepas pejuang Hamas menyerbu sempadan pada 7 Oktober dan membunuh 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, kata pihak berkuasa Israel.