Luar Negara

Dua lagi aset PETRONAS disita Kumpulan Sulu

KUALA LUMPUR – Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sita baharu kepada dua anak syarikat PETRONAS susulan tuntutan daripada waris kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion (RM65 bilion) yang mereka peroleh terhadap aset kerajaan Malaysia.

Memetik laporan BH Online, dalam dokumen mahkamah yang dilihat Reuters daripada peguam waris Kumpulan Sulu, mereka memohon untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu.

Timbang tara berkenaan adalah berhubung tuntutan waris kumpulan itu terhadap Malaysia mengenai hak penguasaan kawasan yang dikatakan dimeterai pada zaman kolonial.

Pada 30 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata Mahkamah di Luxembourg memutuskan untuk menarik balik perintah sekatan ‘saisie arrêt’ yang dimohon oleh individu yang mendakwa sebagai ‘waris’ kumpulan Sulu.

Menurutnya, Mahkamah Daerah Luxembourg mengetepikan perintah sekatan yang dipohon kumpulan itu pada 11 Julai 2022.

Beliau berkata, perintah sekatan itu dibuat berasaskan kononnya Keputusan Muktamad ‘Final Award’ dan Keputusan Awal (Preliminary Award) yang didakwa dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah, Dr Gondoza Stampa, masing-masing pada 28 Februari dan 25 Mei 2022 serta Perintah Exequatur secara ex parte pada 18 Mei 2022, yang mengiktiraf keputusan di Luxembourg.

Dr Stampa dilaporkan memberikan ‘award’ kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM63.34 bilion).

“Malaysia kini mencabar Perintah Exequatur ex-parte di hadapan Mahkamah Rayuan Luxembourg,” kata Azalina.

Show More

Related Articles

Back to top button