Najib positif Covid-19, dirawat di HKL
KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dijangkiti Covid-19.
Menurut seorang pegawai khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi, Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, mengadu demam pada Selasa lalu sebelum dirujuk ke HKL, lapor Astro Awani.
Beliau berkata, pemeriksaan doktor pakar mendapati Najib positif Covid-19.
Mukhlis berkata, Najib kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani kuarantin dan rawatan hospital itu.
Tambahnya, keluarga Najib mengucapkan terima kasih kepada pihak Penjara Kajang dan HKL di atas tindakan pantas memberi rawatan terhadap beliau.
Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos tahun lalu, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya atas penyalahgunaan lebih RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Sejak itu, Najib beberapa kali dilaporkan dirawat di hospital akibat beberapa masalah kesihatan.