GROWMatch dilancar sebagai platform padanan pembiayaan usahawan pertanian
KUALA LUMPUR – Pelancaran platform pemadanan pembiayaan, GROWMatch oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia bakal membantu usahawan perrtanian di negara ini mendapatkan dana bagi mengembangkan perniagaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif itu akan memanfaatkan pembiayaan ekuiti ramai atau crowdfunding (ECF) dan pembiayaan peer-to-peer (P2P), untuk menyokong keperluan dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Beliau berkata, pelancaran GROWMatch bakal menawarkan lebih banyak pilihan untuk usahawan PMKS mendapatkan akses dana yang menjadi kunci perkembangan sesebuah perniagaan.
“Saya diberitahu bahawa GROWMatch direka bentuk untuk meningkatkan ekosistem pembiayaan pertanian dengan membolehkan usahawan menyambung dan melontarkan usaha niaga mereka kepada bakal pelabur dalam sektor pembiayaan alternatif.
“Ia juga bertujuan untuk membantu syarikat muda dan peringkat awal mendapatkan modal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada majlis itu SC menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Impact Circle.
Menurut Gobind, GROWMatch juga bakal menyediakan platform pembiayaan alternatif kepada PMKS berasaskan pertanian.
Dalam pada itu, GROWMatch akan menyaksikan SC menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai rangkaian MSME berasaskan pertanian daripada kalangan akademik, inkubator, pemecut atau program bina kapasiti.
Ia termasuk Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Bioeconomy Corporation, Syarikat Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor, Universiti Putra Malaysia, dan Impact Circle.
“Selain GROWMatch, saya berharap dapat melihat lebih banyak platform padanan sebegini merentas semua industri dan sektor. Platform seperti ini mencipta harapan, peluang baharu dan hasilnya memberi keupayaan untuk mengukuhkan lagi ekonomi
negara.
“Mungkin Suruhanjaya Sekuriti Malaysia boleh mengembangkannya kepada PMKS di luar bidang pertanian,” katanya.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune