Berita SemasaPM X

Kenaikan Cukai Perkhidmatan tidak gadai nasib majoriti rakyat

Perlu dilaksanakan untuk tampung peningkatan perbelanjaan Kerajaan

KUALA LUMPUR – Kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus perlu dilaksanakan bagi memperluaskan asas hasil yang akan digunakan untuk menampung peningkatan perbelanjaan Kerajaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, cadangan kenaikan itu sama sekali tidak menggadai kepentingan melindungi majoriti rakyat Malaysia.

“Kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan juga tidak melibatkan perkhidmatan yang digunakan oleh majoriti rakyat umpamanya perkhidmatan seperti makan-minum, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal pada kadar enam peratus.

“Peluasan skop perkhidmatan bercukai pula meliputi perkhidmatan di peringkat peniaga seperti logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke,” kata Anwar ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Berkenaan perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keresahan yang dibangkitkan akan diatasi menerusi sesi libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan.

“Kita faham bahawa skop perkhidmatan logistik adalah luas dan perlu diperhalusi dengan lebih terperinci.

“(Oleh sebab itu) Kementerian Kewangan akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan seperti sektor logistik dalam mendapatkan input dan pandangan sebelum Cukai ini dikenakan.

“Ini termasuklah mengenal pasti senarai terperinci subsektor logistik yang akan dikenakan Cukai Perkhidmatan,” kata Anwar lagi.

Berkenaan isu pihak yang mengambil kesempatan diatas peluasan skop perkhidmatan bercukai dan kadar cukai, Anwar berkata kerajaan akan menangani perkara berkenaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang akan memperketat dan memperhebat penguatkuasaan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.

Show More

Related Articles

Back to top button