Ahmad Zahid, Muhyiddin setuju selesai kes saman cara baik
KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pembatalan tindakan undang-undang itu diumumkan oleh Ahmad Zahid dan Muhyiddin dalam kenyataan di Facebook mereka hari ini.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua bersetuju untuk menamatkan pertikaian peribadi dan prosiding di mahkamah.
Ahmad Zahid sebelum ini mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu berhubung dakwaan – pernah meminta bantuan Muhyiddin (Perdana Menteri ketika itu) menyelesai dan menangguhkan kes jenayah dihadapinya.
“Setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah ini kepada umum dan setelah mengambil kira saranan daripada Hakim Mahkamah Tinggi serta keadaan semasa negara yang perlu diutamakan terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat.
“Maka Zahid dan Muhyiddin bersetuju dan mengambil keputusan menghentikan pertikaian peribadi mereka dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Guaman No. WA-23CY-21-04/2022,”kata kenyataan itu.
Kronologi kes ini berdasarkan pernyataan tuntutan, Zahid, 71, berkata Presiden Bersatu itu mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.
Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.
Sementara itu, Muhyiddin, 76, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Mei tahun lepas mendakwa kenyataan beliau bahawa Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune