Kerajaan rugi RM505 juta vaksin Covid-19 tamat tempoh
KUALA LUMPUR – Kerajaan kerugian RM505 juta disebabkan baki 8.5 juta dos vaksin Covid-19 luput tarikh pada 15 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, baki vaksin tersebut tidak dihabiskan akibat sambutan vaksinasi Covid-19 yang rendah khususnya kepada dos penggalak.
“Punca lebihan vaksin adalah kerana sambutan vaksinasi Covid-19 yang rendah (khususnya dos penggalak) disebabkan pengambilan dos penggalak adalah secara sukarela serta takut kepada kesan sampingan vaksin ekoran penyebaran maklumat tidak benar.
“Penerimaan bekalan vaksin di mana vaksin yang ditempah tidak diterima mengikut jadual susulan permintaan global yang sangat tinggi,” jelas PAC.
Mas Ermieyati berkata, jumlah simpanan stok penampan pada 9 Jun 2023 ialah 2.23 juta dan baki stok dijangka dapat bertahan sehingga akhir tahun 2025 berdasarkan kadar penggunaan semasa.
Namun, terdapat risiko lebihan 850,000 unit stok penampan, yang akan luput pada penghujung tahun 2024 bernilai RM927,000 jika tidak dapat digunakan.
“Manakala, jumlah simpanan stok bagi pakaian perlindungan pada 9 Jun 2023 ialah 0.64 juta dan baki stok dijangka dapat bertahan sehingga pertengahan tahun 2026 berdasarkan kadar penggunaan semasa. Kesemua stok dijangka dapat digunakan sebelum luput tarikh,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan atas 104 mesin bantuan pernafasan yang tidak berfungsi yang dibeli untuk pesakit Covid-19.
Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, ia menyatakan perkara ini berlaku disebabkan tiada perjanjian bertulis antara Kementerian Kesihatan dan pembekal Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB).