NGO gesa polis siasat video tular hina Islam
CYBERJAYA – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat telah membuat laporan polis mengenai video tular didakwa menghina agama Islam.
Ketua Biro Politik Sekretariat, Shahbudin Embun berkata, video berdurasi satu minit itu dimuat naik individu menggunakan akaun @TanChongRen di aplikasi TikTok.
“Lelaki tersebut membuat rujukan di YouTube berhubung kenyataan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan begitu marah dengan mengeluarkan perkataan menghina Melayu dan Islam.
“Selepas meneliti video itu, saya mendapati ia berunsur menghasut, mengandungi ugutan jenayah, menggunakan perkataan jelik, mengapi-apikan isu agama, kaum dan institusi raja (3R) serta kesalahan di bawah Akta Komunikasi,” kata Shahbudin dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau kemudiannya berkata, pihaknya berharap supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan siasatan lanjut secara terperinci terhadap video berkenaan demi keselamatan dan kestabilan politik negara.
Tambahnya, tindakan tegas harus diambil segera termasuk menurunkan kandungan video tersebut sebelum tersebar meluas pada umum.
Cubaan Malaysia Tribune untuk mengakses akaun TikTok dimaksudkan tidak berhasil kerana pengendalinya telah menetapkan akaun tersebut sebagai peribadi dan perlu mengikutinya untuk melihat kandungan.
Bagaimanapun, Malaysia Tribune berjaya menemukan satu akaun Youtube menggunakan id yang sama, dan antara video dimuat naik termasuk satu video berjudul ‘New Malaysia Anthem’ yang mempunyai unsur provokasi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune