Berita Semasa

[VIDEO] Kerajaan sedia pertimbang cadangan NRC bagi menambah baik Dasar Pendidikan Tinggi Nasional

PUTRAJAYA – Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC), demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, cadangan yang diangkat menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu amat baik dan boleh dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pihak Kementerian Kewangan (MOF).

“Bagi saya secara keseluruhannya, cadangan-cadangan yang dikemukakan ini amat baik dan boleh dibincangkan lanjut dengan pihak Kementerian Kewangan (MOF).

“Justeru, KPT boleh mengemukakan cadangan-cadangan ini ke MOF dan kemudian diangkat ke Mesyuarat Jemaah Menteri dan Parlimen, jika berkaitan.

“Saya juga yakin cadangan-cadangan yang diutarakan oleh NRC mampu membawa anjakan dan merubah status quoekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya melalui ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Penutupan Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di KPT di sini, Selasa lalu.

Yang hadir sama, Menteri PendidikanTinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, Mohammad Yusof Apdal.

Mohamed Khaled Nordin melawat pameran pada Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara di KPT, Putrajaya – FOTO FACEBOOK KPT

Untuk rekod, Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara diadakan sebagai sokongan ke atas cadangan-cadangan NRC yang ditubuhkan bagi menilai semula semua prinsip dan dasar sedia ada dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Selain itu, program turut memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi pandangan dan maklum balas berkenaan cadangan yang diunjurkan oleh Jawatankuasa NRC.

Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara termasuklah Pameran Pendidikan Tinggi yang bertemakan ‘IPT Pemangkin Pembangunan Negara Madani’ seperti pameran Produk Inovasi IPT merangkumi Kesihatan Awam, Keterjaminan Makanan, Teknologi Termaju dan Warisan Bangsa.

@malaysiatribune

UTHM masih pegang rekod penciptaan drone pengangkut terberat di Malaysia. Ciptaan mereka baru-baru ini dipamerkan di Hari Terbuka KPT di Putrajaya. #malaysiatribune

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

 

Selain itu, aktiviti interaktif turut disediakan seperti pameran dron dan robotik, Teknologi Makerspace dan AR/VR, kuiz inovasi serta perkhidmatan Klinik Bergerak Hospital Pengajian Universiti (HPU): Pergigian, Mata dan Kesihatan Am.

@malaysiatribune

Tick Cell Biobank yang dikatakan hanya ada satu sahaja di rantau Asia iaitu di Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre Universiti Malaya telah dipamerkan pada Hari Terbuka KPT, Putrajaya baru-baru ini. #malaysiatribune #universitimalaya

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, sepanjang tiga bulan, 200 peserta mewakili pelbagai organisasi terbabit dalam pasukan NRC untuk mengadakan proses semakan meliputi penelitian ke atas pelbagai akta dan kerangka perundangan, kertas dasar, pelan strategikserta garis panduan yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.

Katanya, 874 isu dikenal pasti di peringkat awal dan 58 cadangan penambah baikan utama dibentangkan kepada pihak Kementerian namun masih belum dimuktamadkan.

Presiden UNIKL Students Representative Council merangkap Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Zulfikri Zulkifli – FOTO NAJMI ZULKEFLE

Dalam pada itu, menurut Presiden UNIKL Students Representative Council merangkap Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Zulfikri Zulkifli, dengan tertubuhnya NRC, permasalahan yang membelengu mahasiswa akan dapat diangkat, seterusnya diselesaikan dengan lebih cekap.

“Bagi saya, penubuhan NRC itu sendiri adalah satu badan yang sangat bagus kerana NRC akan ambil maklum terhadap perubahan dan apa yang perlu diubah dari sudut dasar dan sebagainya.

“Dasar itu akan memberi kesan kepada pelajar itu sendiri jadi maklum balas daripada pelajar itu sendiri adalah satu faktor yang penting.

Mengulas lanjut, Zulfikar, 23, berkata, berdasarkan pengalamannya menghadiri  libat urus NRC, pelbagai isu telah dibangkitkan dan salah satunya adalah berkenaan ekonomi mahasiswa itu sendiri.

“Dalam mesyuarat itu telah dicadangkan konsep 2U2I (2 tahun di universiti, 2 tahun di latihan industri) bagi memberi pelajar pendedahan secara cepat dengan industri pekerjaan disamping mendapat pendapatan sewaktu belajar,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button