Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan untuk sekat rakyat bersuara – Nie Ching
KUALA LUMPUR – Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan berperanan menyekat kebebasan bersuara rakyat seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, demikian kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Menurut Nie Ching, peranan akta berkenaan perlu dilihat perlu dalam memastikan hak kebebasan bersuara dimiliki, digunakan secara berhemah.
“Isu kemudaratan jenayah dalam talian khususnya berkaitan keselamatan rakyat dapat dibendung dengan sewajarnya. Rakyat diingatkan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan bukanlah mutlak.
“Mengikut Artikel 10(2) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen, melalui undang-undang, mengenakan apa-apa sekatan yang didapati perlu atau suai manfaat.
“Antara lain, demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Berhubung status pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Nie Ching berkata, ia telah dimuktamadkan dari segi polisi dan akan dibentangkan di persidangan Parlimen setelah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan Kabinet.
Jelas beliau, syor pindaan akta itu telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak dari kalangan pemain industri, kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, agensi penguatkuasaan keselamatan dan pertahanan, serta badan bukan kerajaan termasuk Majlis Peguam Malaysia.
“Berdasarkan sesi libat urus yang diadakan, cadangan pindaan ke atas Akta 588 secara umumnya diterima baik pihak berkepentingan dan pemegang taruh,” ujarnya lagi.