Berita Semasa

Ralat angka hasil Belanjawan 2024 perlu dijelaskan – gesa Radzi

KUALA LUMPUR – Pembangkang mengegsa kerajaan untuk memberi penjelasan mengenai ralat angka hasil selepas langkah Belanjawan 2024 pada dokumen tinjauan fiskal dan anggaran hasil kerajaan persekutuan yang naik kepada RM4.698 bilion bagi cukai tidak langsung berbanding angka asal RM623 juta.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, ralat berkenaan membabitkan satu angka yang besar.

“Pagi tadi kami ahli-ahli Parlimen menerima satu (surat) makluman daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai perubahan angka jumlah hasil selaras dengan langkah Belanjawan 2024 dalam dokumen tinjauan fiskal pada muka surat 231.

“Asalnya dalam buku (dokumen) ini dinyatakan cukai tidak langsung sebanyak RM623 juta sahaja. Ralat ini mengubah angka cukai ini daripada kepada RM4.698 bilion. Ini angka besar,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama Radzi juga mempersoalkan, duti eksais yang menjadi komponen cukai tidak langsung yang naik kepada RM1.148 bilion berbanding angka asal RM523 juta.

“Yang paling nyata sekali apabila kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus baharu nak disenaraikan dalam buku ini.

“Sebelum ini tidak disenaraikan kenaikan cukai perkhidmatan ini dan sekarang menerusi cukai perkhidmatan ini disenaraikan kenaikannya menyumbang kepada RM3.45 bilion. Dengan pindaan ini, jumlah tambahan hasil bersih naik daripada RM484 juta menjadi RM4,559 bilion. Jadi sebab itu kami ingin kerajaan jelaskan,” katanya.

Mohd Radzi turut mempersoalkan kemungkinan syor untuk menaikkan cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus adalah cadangan saat akhir kerana ia tidak disenaraikan daripada awal.

Show More

Related Articles

Back to top button