Malaysia akan mainkan peranan lebih aktif dalam hubungan antarabangsa – PM Anwar
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kerajaan Malaysia akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam geopolitik dan hubungan antarabangsa.
Beliau berkata demikian dalam pertemuannya dengan warga Malaysia yang berada di Riyadh, Arab Saudi ketika mengadakan lawatan kerja ke negara itu sejak Khamis.
Selain itu, Anwar turut menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di sana supaya bersama-sama menjaga imej negara dan bangsa ini.
“Saya gembira tatkala bertemu mereka sambil diajukan berbagai soalan yang tertumpu pada usaha kerajaan dalam mengangkat darjat harakat hidup rakyat selain memperteguh tatakelola, memperkuat ekonomi dan memainkan peranan yang lebih aktif dalam geopolitik dan hubungan antarabangsa.
“Saya menggesa rakyat Malaysia di sini untuk bersama menjaga imej negara dan bangsa yang kita cintai,” kata Anwar dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Perdana Menteri berada di Riyadh sejak Khamis lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Semalam, Anwar dalam ucapannya pada sidang kemuncak tersebut memaklumkan Malaysia berpendirian rakyat Palestin harus dikembalikan semula tanah, rumah dan harta mereka selain dibenarkan hidup aman serta bermaruah di negara sendiri.