Berita Semasa

Jam Rolex milik pegawai kanan polis dibeli guna duit ibu-bapa

PETALING JAYA – Dua jam tangan mewah jenama Rolex milik seorang pegawai kanan polis yang dilaporkan dicuri oleh isterinya dibeli menggunakan wang pemberian ibu dan mendiang bapa mangsa yang merupakan ahli perniagaan berjaya.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Azri Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua jam tangan berkenaan dimiliki pegawai yang tidak didedahkan namanya itu.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan ke atas pegawai berkenaan yang memiliki gaya hidup mewah dengan memiliki dua utas jam tangan jenama Rolex.

“JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa Bukit Aman melakukan siasatan terhadap pegawai terbabit yang memiliki jam tangan bernilai lebih RM400,000 seperti didedahkan oleh mahkamah

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita, Mou Ei Leen, 41, didakwa mencuri jam tangan Rolex Sky-Dweller (Model 326135) dan Rolex GMT Master-II 9 (Model 116718 LN) daripada suaminya, seorang pegawai polis, tiga tahun lalu.

Mou didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Dia dibebaskan dengan jaminan RM3,000.

Peguamnya dilaporkan berkata, suspek dalam proses perceraian dan tinggal berasingan dengan suaminya sejak dua tahun lalu. Kecurian itu dilaporkan berlaku ketika mereka masih tinggal bersama.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button