Berita SemasaPM X

Rebat elektrik RM40 bagi miskin tegar dikekalkan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga 40 ringgit sebulan kepada isi rumah miskin tegar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata, pemberian itu melibatkan peruntukan sebanyak RM55 juta.

“Selain itu, Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan akan terus menambah baik pendekatan pemberian subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik.

Kata Anwar, bagi tahun ini, kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi tetapi pada masa yang sama, mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna.

Pendekatan bersasar ini telah dapat menjimatkan lebih 4.6 bilion ringgit daripada unjuran subsidi elektrik 20 bilion ringgit.

“Kerajaan berharap, keputusan ini memberi isyarat tepat kepada pengguna untuk mempraktikkan kecekapan tenaga dan amalan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik seharian,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button