Mara sedia bantu doktor kontrak jadi usahawan, buka klinik sendiri
CYBERJAYA – Mara sedia membantu doktor kontrak yang berminat untuk membuka klinik sendiri dengan menyediakan pinjaman modal dan latihan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara mempunyai keupayaan membantu ramai doktor dan ahli farmasi menjadi usahawan dengan membuka cawangan bawah jenama U.n.i Klinik, U.n.i Dental dan U.n.i Farmasi.
Beliau dalam temubualnya bersama Utusan Malaysia berkata, beliau akan menemui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), SME Bank dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam masa terdekat bagi membincangkan cara dana keusahawanan yang disediakan kerajaan boleh disalurkan demi manfaat doktor kontrak.
Syarat membuka klinik sendiri agak mudah, iaitu doktor berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan sudah menjalani perkhidmatan wajib di hospital kerajaan.
“Kita menyediakan ekosistem supaya mereka tidak gagal dalam industri ini dengan memberi latihan keusahawanan, pengawasan, bimbingan dan kita siapkan juga rantaian bekalan supaya harga peralatan yang hendak dibeli semua di tahap paling rendah.
“Tetapi, mereka (doktor) kena fokus kepada kelompok sasaran (pelanggan) kerana kita menyediakan klinik ini bukan hanya untuk orang yang mempunyai wang.
“Mara kawal selia dari segi caj perkhidmatan supaya tidak seperti klinik swasta dan tidak juga semurah klinik kerajaan, tetapi dalam lingkungan berpatutan untuk B40 dan M40,” katanya dalam temubual tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menyerap 12,800 daripada 20,333 doktor kontrak ke jawatan tetap secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
Asyraf berkata, kerjasama Mara dengan penyalur dana sejajar prinsipnya, iaitu agensi kerajaan tidak boleh bekerja secara silo, sebaliknya perlu bergerak secara sinergi.
“Kalau kita bekerja sebagai satu sinergi, mereka beri dana kepada kita, tak perlulah kita minta dana tambahan daripada kerajaan kerana Mara ada kekangan untuk membantu doktor kontrak membuka sebuah klinik yang memerlukan RM250,000 hingga RM400,000.”
Beliau seterusnya menjelaskan, peranan Mara tidak terhad kepada melatih usahawan, tetapi juga menyediakan ekosistem bagi memastikan mereka kekal dalam industri dan boleh berkembang.
Tambahnya, dengan memiliki jaringan klinik besar, ia boleh menubuhkan konsortium, bahkan hospital sendiri, sekali gus dapat menyelesaikan sebahagian isu doktor kontrak.
“Mara bukan boleh menyelesaikan semua masalah ini, tetapi kita menyediakan alternatif dan sedikit sebanyak menyelesaikan masalah yang ada,” kata Asyraf.
Buat masa ini, tambah beliau 88 cawangan U.n.i telah dibuka sejak 2021 yang menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 300 orang.
“Setakat ini, penubuhan klinik-klinik ini memang berjaya, pendapatan sentiasa meningkat dan usahawan membayar balik pinjaman tepat pada masanya, bahkan ada yang menambah cawangan baharu,” katanya lagi.