Politik

Demi rakyat, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dari PN sokong kepimpinan PM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Kangsar dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengambil keputusan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai hari ini.

Iskandar Dzulkarnain berkata, bagaimanapun beliau masih taat dan setia dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Setelah meneliti rinithan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasan saya, saya ahli Parlimen Kuala Kangsar dengan ini mengambil pendekatan untuk menyokong pimpinan Perdana Menteri mulai tarikh kenyataan ini.

“Keputusan saya juga bertujuan menilai sama ada Perdana Menteri adalah ikhlas dan akan mengotakan janjinya bahawa peruntukan akan disalurkan kepada sesiapa Ahli Parlimen yang menyokong dasar-dasar Kerajaan Perpaduan.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong Perdana Menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara.

“Bagi mengelak sebarang keraguan, perlu dijelas dan ditegaskan bahawa saya tidak akan tinggalkan apatah lagi khianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar Dzulkarnain berkata, biarpun berkemungkinan berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin oleh parti, beliau tidak sanggup melihat pengundi-pengundi di kawasannya terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik.

“Saya dengan ini mengambil keputusan untuk menyokong inisiatif inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini, sehingga Pilihanraya Umum (PRU) yang seterusnya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button