Politik

Ahmad Zahid mahu UMNO bangkit semula atas semangat musyawarah

KUALA LUMPUR – Peluang berucap di depan lebih 3,000 ahli perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula hari ini akan digunakan untuk mengimbau segala pahit manis perjuangan sepanjang memimpin parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peluang itu juga akan digunakan untuk meluahkan segala rasa yang terbuku di dalam hati dan berkongsi cabaran yang ditempuhi beliau.

“Ruang ini seluasnya, saya gunakan bagi meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran-cabaran yang saya hadapi sepanjang menakhodai bahtera UMNO ini.

“Biarlah hari ini, di dalam dewan keramat ini, kita bersama-sama membina semula gerakan parti kita. Perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, kita bincangkan secara berjemaah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid juga menganjak seluruh ahli parti itu supaya kembali semula atas semangat kebersamaan untuk bangkit dari rebah.

“Dengan keikhlasan, kita mampu mencipta kejayaan. Dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan kita semua beroleh rahmah,” katanya.

PAU 2022 yang bermula hari ini sehingga Sabtu ini dimulakan dengan Taklimat Presiden UMNO dalam satu perhimpunan tertutup pada pukul 3 petang ini.

Show More

Related Articles

Back to top button