Wacana Kelestarian Keselamatan Perpaduan dan Keharmonian Negara beri penekanan isu 3R bagi elak perbalahan
JOHOR BAHRU – Orang ramai diingatkan agar untuk tidak membuat sebarang provokasi berbubung isu 3R iaitu raja, agama, kaum kerana perbuatan tersebut amat serius dan boleh menggugat keharmonian serta perpaduan rakyat di negara ini, demikian antara pengisian yang ditekankan dalam Wacana Kelestarian Keselamatan Perpaduan dan Keharmonian Negara hari ini.
Pegawai Perancangan dan Kajian Strategik E8, Bahagian E8 Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ACP Ridzuan Abdul Aziz, berkata, pihak polis tidak akan tergagak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang melakukan provokasi terhadap isu 3R di negara ini.
“Secara umumnya bagi pihak polis sekiranya ternampak apa-apa provokasi yang dilakukan oleh sesiapa tolong laporkan kepada pihak berkuasa dan kami akan ambil tindakan,” katanya selepas ditanya mengenai langkah yang diambil susulan isu 3R yang timbul akhir-akhir ini.
Beliau berkata demikian pada Wacana Kelestarian Keselamatan Perpaduan dan Keharmonian Negara sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di perkarangan Angsana Mall di sini, hari ini.
Panel wacana terdiri daripada ACP Ridzuan Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Johor, Junaidi Izuddin Abdul Aziz serta Pengarah Penyelidikan Penerbitan Pusat Serantau Asia Tenggara Mencegah Keganasan (SEARCCT) Kementerian Luar Negeri, Kennimrod Sariburaja.
Hadir sama, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud serta Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Che Roslan Che Daud.
Terdahulu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengajak orang ramai untuk memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 yang berlangsung pada 23 hingga 26 Mei ini.
Perasmian majlis sambutan tersebut akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 8 malam esok.
Mengulas lanjut, Junaidi Izuddin berkata, pelbagai program dan aktiviti yang telah dijalankan oleh kementerian dan agensi kerajaan sebagai pendedahan kepada orang ramai agar tidak membuat provokasi bagi isu 3R.
“Pelbagai program tertentu telah dibuat oleh polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai agensi kerajaan dan tujuanya bukan untuk menghukum tapi kita mahu didik bahawa apa yang mereka dibuat itu salah.
“Apabila terjadi insiden 3R sebegini, yakinlah bahawa perkara ini dikawal bermaksud pihak berkuasa akan kawal isu ini untuk memastikan ia tidak menjadi satu isu kententeraman awam, malah Kementerian Komunikasi akan turunkan hantaran-hantaran berunsur 3R,” katanya.
Tambah Kennimrod Sariburaja, program-program yang dijalankan oleh Pusat Serantau Asia Tenggara Mencegah Keganasan (SEARCCT) Kementerian Luar Negeri, adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami ada program kenegaraan dalam kalangan pelajar-pelajar IPT dan IPTS iaitu kami telah membuat satu forum perdana penerapan nilai-nilai Madani dalam membendung ucapan kebencian.
“Tahun ini kita akan ke Sabah untuk melihat kemajmukkan di Sabah bagaimana. Kita mahu promosikan Sabah itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan daripada segi nilai Madani itu kita ambil nilai hormat yang menekankan budi bahasa dan meraih perbezaan pandangan antara satu sama lain,” ujarnya.