Gempa kuat landa barat Afghanistan, ratusan dikhuatiri maut
KABUL – Ratusan penduduk dikhuatiri maut apabila beberapa siri gempa bumi melanda kawasan barat Afghanistan pada Sabtu.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan awalnya berkata, lebih 320 terbunuh, namun jurucakap Taliban memberitahu, angka kematian sebenar “adalah lebih tinggi”, lapor portal The Guardian.
“Angka kematian (dijangka) tinggi, kerana ramai lagi masih terperangkap dalam runtuhan bangunan,” kata jurucakap yang tidak dinamakan tersebut.
“Kami sedang melakukan yang terbaik (operasi menyelamat) tetapi kami perlukan lebih bantuan,” tambah jurucakap tersebut.
USGS dalam laporannya berkata, sebanyak tujuh gempa bumi melanda wilayah berkenaan.
Antaranya, gempa berkekuatan 5.9 pada skala Richter berpusat 35 kilometer (KM) di utara Herat, diikuti dua gempa bermagnitud 6.3 kira-kira 33km dan 29km dari Zindah Jan.
Rakaman video di wilayah Herat menunjukkan kawasan kampung dipenuhi runtuhan bangunan, dengan orang ramai sedang cuba mengeluarkan mangsa yang terperangkap daripada runtuhan.