BN pertahan DUN Pelangai
BENTONG – Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.
Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam berjaya memperoleh 7,324 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat mendapat 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya mendapat 47 undi.
Pengundian PRK DUN Pelangai di Pahang yang bermula 8 pagi tadi, berakhir selepas sembilan pusat mengundi dengan 31 saluran ditutup sepenuhnya 6 petang, hari ini.
Jumlah keseluruhan pengundi di Dun itu ialah 16,456 orang, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 73 kertas undi pos termasuk kepada 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka akibat pemergian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.
Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.