Syarikat besar UAE berhasrat tambah pelaburan di Malaysia – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, banyak syarikat besar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah melabur di Malaysia berhasrat meningkatkan pelaburan mereka di negara ini.
Menurut Anwar, dalam lawatan kerjanya ke negara itu, beliau berpeluang bertemu 40 wakil daripada 21 syarikat besar yang merancang menambah pelaburan.
Antara syarikat tersebut termasuk ADNOC, TAQA, MASDAR, Al-Dahra, Lulu, DP World, ADIA dan Mubadala. Majlis Pelabur Antarabangsa UAE dan Dewan-Dewan Perniagaan Abu Dhabi dan Dubai turut berhasrat menambah pelaburan sedia ada.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut berkongsi dengan syarikat terbabit mengenai bagaimana Malaysia berjaya menarik pelbagai pelaburan baharu dari syarikat-syarikat terkemuka global seperti Tesla, Infineon dan Geely.
“Malaysia telah lama menjalin hubungan akrab dengan UAE, terutama dengan Abu Dhabi.
“Saya menekankan pentingnya perkongsian strategik bukan sahaja di dalam satu atau dua sektor, tetapi di dalam pelbagai sektor.
“Industri halal dan kewangan Islam Malaysia adalah satu sektor menyaksikan banyak kerjasama boleh dijalin, dan saya berkongsi Malaysia juga menekankan konsep keadilan sosial melalui pelaksanaan industri halal.
“Insya-Allah, jalinan perhubungan dua hala antara Malaysia dan UAE akan terus ditambah baik.
“Yang sama penting, Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR) dan juga Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) bakal mengukuhkan asas industri dan perniagaan di Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, semalam.