Sekolah, tadika dan taska ditutup jika IPU melebihi 200
CYBERJAYA – Operasi sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, tindakan itu adalah berdasarkan kepada Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).
Justeru, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU.
“Sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan peningkatan ke arah 200, persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan,” katanya dalam satu siaran akhbar yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), semalam.
Jelasnya, pelan PTJK mengandungi tindakan spesifik yang perlu diambil oleh setiap agensi berpandukan kepada tahap amaran tertentu yang ditetapkan mengikut status kualiti udara iaitu bacaan IPU dan petunjuk kepada kesihatan awam.
“Pelan tindakan ini dikemaskini pada tahun 2002, 2006, 2012 dan 2013. Pengemaskinian pelan terkini adalah pada tahun 2018 dengan mengambilkira kemasukan parameter PM2.5 dalam bacaan IPU negara.
“Pengemaskinian Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan adalah untuk mempercepatkan tindakan yang perlu diambil oleh agensi.
“Antara tindakan agensi yang perlu dilaksanakan adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah/negeri/pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.
“Menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100. Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan,” katanya lagi.