Berita Semasa

Penjualan minyak masak paket bersubsidi hanya kepada pemegang kad khas mulai tahun depan

CYBERJAYA – Minyak masak paket bersubsidi hanya akan dijual kepada pemilik kad pengenalan diri khas mulai tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kad tersebut hanya akan diberikan kepada individu yang benar-benar layak.

“Sekarang ini minyak masak peket berada di pasaran terbuka. Kita mahu sasarkan kepada yang memerlukan.. supaya tidak berlaku penjualan kepada yang tidak sepatutnya.

“Maka dengan subsidi bersasar, hanya yang ada ID (pengenalan diri) dan disahkan layak sahaja boleh dapatkan minyak masak peket bersubsidi ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Fuziah menjelaskan, kerajaan tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dalam penentuan pemberian subsidi kerana aplikasi itu tidak boleh membezakan pengelasan isi rumah.

“Keperluan keluarga tak sama dengan keperluan peniaga kecil. Dan juga golongan T20 tak layak terima subsidi minyak masak peket. Maka MySejahtera tak boleh digunakan sebab tak tahu dia T20 atau tak,” katanya lagi.

Kerajaan ketika ini mengeluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya, mekanisme kawalan berkenaan perlu dilaksanakan kerana banyak aduan diterima pihaknya menyatakan barang asas itu sukar didapati di pasaran.

“Ianya selalu habis,” katanya. “Maka perlu kepada ID yang berbeza,” katanya lagi.

Pada 11 Sept, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata program bersubsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PaDU).

Show More

Related Articles

Back to top button