KPDN lancar Inisiatif Payung Rahmah di kawasan terjejas banjir
KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Inisiatif Payung Rahmah peringkat negeri Pahang di TMG Mall Tanjung Lumpur, di sini.
Inisiatif Payung Rahmah yang meliputi Program Jualan Rahmah (PJR), Pakej Rahmah dan edaran Bakul Rahmah oleh TMG Mall itu merupakan sebahagian daripada bantuan bank makanan ke negeri yang terjejas banjir.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kementerian amat memahami kesulitan mangsa banjir yang terkepung dan sukar mendapatkan barangan keperluan.
Justeru, pihaknya telah bekerjasama dengan rakan-rakan strategik untuk mendapatkan keperluan dan logistik.
“Sempena perasmian PJR pada hari ini, TMG Mall menawarkan potongan harga (diskaun) sehingga 30 peratus.
“Manakala bagi Pakej RAHMAH, TMG Mall menyediakan pakej barangan keperluan asas bernilai RM50.00 yang mana asal barangan tersebut adalah RM70.00,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada majlis itu, Fuziah turut menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah kepada 100 penerima dalam kalangan asnaf di daerah ini.
Menurutnya, inisiatif itu juga dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik terdiri pemain industri peruncitan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu kumpulan miskin tegar.
“Inisiatif ini dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara yang dijangka memberi manfaat kepada 37,373 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan golongan sasar secara bulanan,” ujarnya.
Tambah beliau, sehingga 3 Mac, 1,085 premis makanan telah menyertai inisiatif Menu Rahmah di seluruh negara.