Berita Semasa

Pantau seluruh infrastruktur sukan dan padang sekolah – Fadhlina

Susulan kemalangan libatkan murid berusia 11 tahun meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol di Bintulu, semalam

CYBERJAYA – Semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah diarahkan memantau semua infrastruktur sukan serta padang berada dalam keadaan selamat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pentadbir sekolah turut diarahkan supaya sentiasa mengingatkan pelajar untuk berwaspada ketika melakukan aktiviti di luar kelas.

“Bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan pihak JPN, PPD dan sekolah memantau seluruh infrastruktur sukan dan padang sekolah berada dalam keadaan selamat untuk kegunaan para pelajar,” kata Fadhlina dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Arahan tersebut dikeluarkan susulan kemalangan melibatkan seorang murid berusia 11 tahun yang meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol ketika aktiviti kokurikulum bersama-sama rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan St. Anthony, Bintulu, Sarawak semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat ditimpa besi palang gol di tempat kejadian yang dipercayai patah semasa aktiviti kokurikulum.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan sebaik sahaja tiba Hospital Bintulu.

Dalam hantaran sama, Fadhlina menzahirkan dukacita berhubung perkhabaran tersebut dan menyampaikan ucapan takziahnya terhadap keluarga mangsa.

“Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan saya memberi jaminan KPM menerusi JPN akan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa.

“Saya juga memberikan jaminan bahawa KPM akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan tragedi ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button