Berita Semasa

PERKESO terima anugerah penambahbaikan kehidupan OKU dunia

CYBERJAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sekali lagi menerima pengiktirafan antarabangsa Zero Project Award dalam kategori “Innovative Solutions” atas perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs yang menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi akses kepada peluang pekerjaan.

Anugerah disampaikan kepada PERKESO sempena Persidangan Zero Project yang bertemakan “Independent Living & Political Participation, and ICT” dianjurkan di Vienna, Austria baru-baru ini.

Portal MYFutureJobs yang menyediakan perkhidmatan pekerjaan yang inklusif dan komprehensif adalah antara 71 pendekatan atau penyelesaian berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari 42 buah negara yang menerima Anugerah Zero Project dalam kategori pendekatan berinovatif.

Persidangan tahunan Zero Project yang berlangsung dari 22 hingga 24 Februari 2023 di Vienna menghimpunkan para penyelidik dan pembuat keputusan dari seluruh dunia untuk memupuk kerjasama dan perkongsian pendekatan penyelesaian terbaharu dan inovatif untuk penggunaan di seluruh dunia ke arah dunia sifar halangan.

PERKESO adalah di antara 21 penerima anugerah dalam kategori “Innovative Solutions” dari Asia & Pacific, manakala penerima anugerah yang lain adalah dari Eropah, Amerika Utara, Amerika Latin & Caribbean, Afrika dan Australia & Oceania.

Sebelum ini, pada tahun 2017, perkhidmatan pekerjaan di bawah Program Return To Work (RTW) yang diperkenalkan PERKESO bagi membantu pekerja yang kurang upaya akibat kemalangan atau penyakit untuk mendapatkan pekerjaan baharu, telah diiktiraf oleh Zero Project sebagai salah satu amalan terbaik (best practice) di peringkat global.

Usaha penambahbaikan serta perluasan skop perkhidmatan pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs, mencerminkan anjakan paradigma dalam perkhidmatan dan perluasan perlindungan sosial yang dilaksanakan PERKESO untuk meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja di negara ini.

Dalam satu majlis ringkas di sini, Menteri Sumber Manusia Tuan V.Sivakumar telah menyerahkan Anugerah Zero Project kepada Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed sebagai meraikan kejayaan PERKESO meraih anugerah tersebut.

Pengiktirafan antarabangsa ke atas MYFutureJobs merupakan manifestasi komitmen Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO dalam memperkukuh pasaran buruh secara aktif, progresif dan inklusif.

Bersandarkan teknologi digital dan Artificial Intelligence (AI), portal MYFutureJobs dapat membuat padanan pekerjaan untuk pencari kerja dan majikan dengan lebih tepat.

Hari ini, portal ini memberi akses yang lebih menyeluruh kepada orang ramai di mana hampir 2 juta pencari kerja telah berdaftar dengannya.

MYFutureJobs bukan hanya platform padanan pekerjaan, malah ia merupakan satu ekosistem perkhidmatan pasaran buruh yang lengkap. Selain daripada memberi manfaat kepada majikan dan semua kategori pencari kerja, portal MYFutureJobs turut menyediakan perkhidmatan sokongan secara individu atau pengurusan kes untuk semua golongan pencari kerja termasuk OKU.

Justeru, PERKESO menyeru para majikan untuk berganding bahu memperkasa potensi OKU dengan menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO di 03-8091 5300 bagi menyertai program-program berkaitan yang disediakan PERKESO.

Golongan OKU juga digalakkan untuk memohon dan memanfaatkan perkhidmatan pekerjaan yang disediakan menerusi Portal MYFutureJobs.

Bagi sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PERKESO atau hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO di 1-300-22-8000.

Show More

Related Articles

Back to top button