Agama

Lebih RM100 bilion harta pusaka terbeku, tidak dituntut

KUALA LUMPUR – Isu harta pusaka terus menjadi masalah di Malaysia apabila dianggarkan lebih RM100 bilion jumlah har­ta beku dan tidak dituntut di ne­gara ini direkodkan melibatkan 90 peratus daripadanya milik orang Melayu.

Ketidakpastian mengenai harta pusaka yang terbengkalai menjadi salah satu punca utama ketidakupayaan untuk menuntut pusaka kerana kekurangan maklumat aset yang diperlukan untuk proses pengurusan pusaka.

Amalan biasa bagi menuntut harta tersebut me­merlukan waris berkumpul dalam pengurusan harta kematian seperti Amanah Raya Berhad (Amanah Raya), mahkamah tinggi atau pejabat tanah bagi mendapatkan persetujuan semua waris sehingga kadang kala me­lambatkan proses tuntutan, lebih-lebih lagi jika mahu me­lantik seseorang sebagai pentadbir har­ta.

Bercakap kepada Malaysia Tribune, Pengarah Komersial Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM), Hadi Pilus berkata, tiada perancangan awal oleh seseorang individu menjadikan proses pendaftaran pusaka jauh lebih sukar apabila pemilik harta itu meninggal dunia.

“Tiada pengetahuan mengenai harta pusaka dan aset yang dimiliki adalah masalah umum yang sering berlaku. Ini menghadkan keupayaan keluarga untuk menuntut hak mereka.

“Bagi keluarga yang terbabit, cabaran yang dihadapi adalah ketidakpastian mengenai apa yang dimiliki oleh si mati dan di mana aset-aset itu disimpan. Ini boleh menyebabkan ketidaksepakatan dalam keluarga, ketidakadilan dalam pembahagian harta pusaka, dan penangguhan dalam penyelesaian isu pusaka.

“Keadaan ini kadang-kadang berakhir dengan harta pusaka terbiar tanpa pemilik yang sah,” katanya.

Hadi yang mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam industri itu berkata, untuk mengatasi masalah ini, MiiM telah melancarkan platform digital inovatif yang memudahkan individu untuk merakam dan mengemaskini maklumat aset mereka secara dalam talian.

“Platform ini tidak hanya membolehkan pemilik harta pusaka menyimpan rekod aset mereka dengan selamat, tetapi juga menyediakan panduan langkah demi langkah bagi merancang perancangan pusaka yang efektif dengan penawaran menyediakan dokumentasi hibah, wasiat dan deklarasi harta sepencarian secara percuma,” ujarnya.

Mengulas mengenai manfaat pakej e-Legacy MiiM, katanya, individu terbabit boleh menguruskan maklumat aset mereka dengan mudah.

Malah katanya, pakej e-Legacy MiiM menyediakan sokongan perundangan dan perancangan pusaka untuk memastikan bahawa harta pusaka mereka ditadbir dan diwariskan mengikut kehendak mereka selepas kematian.

“Kami menyedari ramai waris tidak tahu kaedah atau prosedur yang betul untuk menuntut aset pusaka. MiiM mengenal pasti keperluan untuk memberi kesedaran dan panduan kepada masyarakat tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk memulakan proses penuntutan.

“Pihak MiiM menyediakan sumber daya dalam talian dan khidmat nasihat peribadi untuk membantu waris dalam merangka perancangan pusaka dan memulakan proses penuntutan dengan betul,” katanya.

Katanya, dengan pembaharuan yang dilakukan seiring dengan perkembangan teknologi semasa isu harta tidak dituntut oleh waris boleh diatasi.

“Dengan teknologi di hujung jari, isu harta pusaka tidak dituntut boleh diatasi di masa hadapan. Setiap individu hanya perlu mengemaskini maklumat aset mereka.

“Sebagai umat Islam kita perlu mencari penyelesaian kepada masalah ini kerana isu pembahagian harta pusaka turut diterangkan dalam al-Quran iaitu di dalam surah al-Nisa’ ayat 11,12 dan 176.

“Dengan adanya platform digital dan pakej e-Legacy MiiM, bersama dengan peluang untuk menuntut dana yang belum dituntut di Amanah Raya Berhad, kita dapat membantu mengatasi ketidakadilan dan kebingungan dalam proses pewarisan harta pusaka, menjadikan proses ini lebih lancar dan adil untuk semua pihak yang terlibat,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button