Berita Semasa

Pekerja cas sos cili: McDonald’s buat laporan polis, dakwa pelanggan bertindak agresif

KUALA LUMPUR – Rangkaian restoran makanan segera, McDonald’s membuat laporan polis berhubung seorang pelanggannya yang mendakwa terpaksa membayar untuk mendapatkan tambahan sos cili.

Menurutnya dalam satu kenyataan, tindakan itu diambil selepas pihaknya meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di McDonald’s Taman Buaya DT, Melaka.

“Selepas menjalankan siasatan dalaman dan menyemak rakaman CCTV, kami mendapati bahawa pelanggan secara tidak sengaja diberikan dengan jumlah sos cili yang tidak mencukupi. Kakitangan kami kemudian segera memberikan paket tambahan sos cili apabila diminta oleh pelanggan.

“Walau bagaimanapun, pada ketika itu, pelanggan menjadi sangat marah dan bersikap agresif secara lisan terhadap kakitangan kami. Pelanggan berkeras untuk membayar tambahan 10 bungkus sos cili dan menggesa kru kami mengeluarkan resit untuk pembelian ini.

“Walaupun kru cuba menjelaskan bahawa sos cili disediakan secara percuma, pelanggan dengan marah berkeras untuk dikenakan bayaran untuk 10 paket,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya amat kecewa dengan tindakan pelanggan itu yang bukan sahaja bersikap agresif terhadap kakitangannya malah telah memuat naik maklumat tidak tepat mengenai kejadian itu di media sosial.

Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu bagi memastikan keselamatan kru McDonald’s.

Sementara itu, tegasnya, McDonald’s menawarkan sos secara percuma kepada semua pelanggannya tanpa sebarang kos tambahan.

Di samping itu, pihaknya juga sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang luar biasa kepada rakyat Malaysia pada setiap masa.

Sebelum ini, tular di Facebook selepas seorang pelanggan memuat naik hantaran yang mendakwa McDonald’s mengenakan caj tambahan untuk sos cili peket.

Dalam muat naik tersebut, McDonald’s didakwa mengenakan caj RM10.60 untuk 10 peket sos cili di salah sebuah restorannya di Ayer Keroh, Melaka.

Show More

Related Articles

Back to top button