Hina Sultan Selangor, penceramah Wan Ji dipenjara 9 bulan
PUTRAJAYA – Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin hari ini memulakan hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan membuat hasutan terhadap Sutan Selangor, 11 tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh datuk Hadhariah Syed Ismail selepas rayuan terakhir Wanj Ji ditolak kerana mendapati rayuan lelaki berusia 41 tahun itu tidak bermerit.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan Wan Ji terhadap hukuman dengan memerintahkan dia hanya dipenjara sembilan bulan sebagai mana yang diputuskan Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 9 April 2018.
Berdasarkan keputusan itu, Hadhariah yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang menambah hukuman itu daripada sembilan bulan kepada setahun.
Semasa membaca keputusan penghakimannya, Hakim ini berkata, Wan Ji selaku perayu menyentuh isu Akta Hasutan 1948 dengan mendakwanya sebagai tidak berperlembagaan.
Bagaimanapun, Hadhariah berkata, tiada perkara yang salah mengenai undang-undang berkenaan sebaliknya kebebasan bersuara bukan hak mutlak bagi seseorang untuk berbicara sesuka hati.
“Kebebasan bersuara tidak bermaksud semua pihak boleh bercakap dengan sesuka hati, kerana masih terdapat batas yang perlu dijaga.
Malangnya beliau berkata, perkataan yang dikatakan dalam hantaran Facebook (FB Wan Ji) sememangnya tidak sesuai.
“Kalau (hendak) beri nasihat agama cakaplah dengan perkataan yang baik-baik, jangan guna perkataan yang tidak sesuai terutama terhadap Sultan Selangor kerana sekarang ada 3R (agama, raja, kaum), jadi hati-hati dengan perkataan sensitif ini.
“Jangan menyinggung perasaan atau memperkecilkan seseorang, sebaliknya amal sikap menunduk, jika kita bijak sekali pun dalam ilmu agama, usah memperlekehkan orang lain,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Dalam prosiding pada Isnin, Wan Ji diwakili peguam, Muhammad Faiz Fadzil sementara pihak pendakwaan selaku responden diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.
Pada 10 September 2014, Wan Ji didakwa menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam FB dengan nama wanji.attaaduddi.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 November 2012.