Berita Semasa

CUEPACS mohon gaji penjawat awam dinaikkan RM300

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebanyak RM300 pada pembentangan Belanjawan 2024, bulan depan.

Kesatuan itu turut berharap kerajaan dapat memberikan bonus minimum satu bulan setengah, yang diterima kali terakhir pada 2012.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, kenaikan itu diharap dapat diumumkan sementara menunggu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada 2025 nanti.

“Kenaikan gaji secara tambahan sebanyak RM300 perlu diberikan bagi membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa.

“Kenaikan ini juga boleh meningkatkan gaji bersih (take-home pay) serta memberi kelegaan kepada penjawat awam sementara menunggu tempoh sistem saraan baharu dilaksanakan pada 2025,” kata Adnan dalam satu kenyataan, hari ini.

Berhubung pemberian bonus, Adnan berkata selepas 2012, mereka hanya menerima bantuan khas kewangan.

“Sudah lama penjawat awam menunggu perkataan bonus ini, tetapi ia tidak kunjung tiba walaupun sudah lebih 11 tahun menunggu.

“Cuepacs memahami kekangan kerajaan tetapi pada masa sama penjawat awam juga perlu ihsan daripada kerajaan dan dalam masa sama mampu meningkatkan motivasi dalam pekerjaan,” katanya lagi.

Beliau berkata pihaknya turut memohon diskaun pembayaran cukai pendapatan kepada semua penjawat awam sekurang-kurangnya 30 peratus dan meningkatkan jumlah pengiraan pencen kepada jumlah tahun perkhidmatan sehingga 35 tahun bagi memaksimumkan pencen.

Show More

Related Articles

Back to top button