Kerajaan laksana pelbagai langkah tangani ancaman EU terhadap industri sawit negara
KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius ancaman Kesatuan Eropah (EU) terhadap industri sawit negara dan telah mengambil beberapa langkah bagi menangani isu berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara langkah diambil termasuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan Indonesia pada 9 Feb lalu.
“(Mesyuarat itu) bagi membincangkan implikasi pelaksanaan Eurpoean Union Deforestation Regulation (EUDR) dan strategi kedua-dua negara dapat bersama dalam menangani impak Peraturan tersebut selaku negara pengeluar utama sawit dunia.
“Hasil mesyuarat tersebut adalah kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengadakan misi lawatan Menteri secara bersama (Joint Ministerial Mission) ke EU pada 27 Mei hingga 1 Jun lalu,” kata Fadillah, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat hari ini.
Susulan misi lawatan berkenaan, kata Fadillah, pemimpin EU bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas serta sesi dialog untuk memudah cara pelaksanaan EUDR.
“Jawatankuasa Khas tersebut telah bersidang pada 4 Ogos di Jakarta, Indonesia dan dijangka akan bersidang kembali pada 4 Dis di Malaysia,” jelas Fadillah.
Pada masa yang sama, tambah Fadillah, Malaysia bersama 16 negara pengeluar agrikomoditi yang lain juga telah mengemukakan bantahan secara bertulis kepada EU berhubung diskriminasi EUDR melalui surat yang telah ditandatangani oleh perwakilan masing-masing pada 7 Sept.
“Usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan industri sawit negara ini bukan hanya melibatkan Kementerian Perladangan dan Komoditi bahkan turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Kluster Ekonomi Minyak Sawit yang antara lain turut melibatkan Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) bagi menggerakkan usaha menangani sebarang ancaman terhadap komoditi negara terutama minyak sawit
secara strategik,” katanya lagi.