Banjir Libya: Anggota penyelamat mohon lebih bantuan
DERNA – Anggota pasukan penyelamat antarabangsa memohon lebih banyak bantuan bagi mendapatkan mayat mangsa yang terkorban dalam banjir yang melanda timur Derna, baru-baru ini.
Lebih seminggu selepas kejadian, kebanyakan mayat mangsa berada di dalam air, dengan beberapa daripadanya berada di kawasan yang hanya boleh diambil menggunakan peralatan khas.
“Mayat kini sedang mereput teruk dan pada satu ketika untuk mendapatkannya mungkin tidak dapat dilakukan.
“Kami memerlukan lebih banyak bantuan lagi,” kata wakil misi Tunisia ketika ditemui bersama pasukan dari negara Arab, Turkiye dan Itali di Derna.
Sementara itu, wakil misi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Algeria menyifatkan mayat yang ditemukan di teluk di Mediterranean hanya boleh diakses oleh bot khas.
Wakil Algeria berkata, pasukannya melihat sekitar 50 mayat dari tebing sekitar tujuh batu nautika dari pelabuhan Derna, tetapi kawasan itu hanya boleh diakses oleh penyelam dan bot.
“Jika kami mendapatkan bot yang betul, kami boleh mendapatkan 100 mayat setiap hari,” katanya.
Sehingga Khamis, jumlah korban banjir dilapor sudah melebihi 11,000, dengan nasib kira-kira 20,000 orang lagi belum diketahui, lapor penyiar Al Arabiya, yang memetik sumber Bulan Sabit Merah Libya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Libya mempertikaikan angka itu dengan Kementerian Kesihatan melaporkan sudah mendokumenkan sebanyak 3,252 kematian di Derna setakat ini.
Angka daripada Kementerian Kesihatan itu adalah mendokumentasikan mayat yang diambil dan dikebumikan.
Hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Daniel melanda Libya pada 10 September lepas, mencetuskan banjir di timur negara itu, dengan bandar Susah dan Derna diisytiharkan sebagai zon bencana alam.