Berita Semasa

Banjir Melaka: Kerajaan negeri salur sumbangan segera

MASJID TANAH – Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk menyalurkan bantuan berjumlah RM300 kepada semua penduduk yang terjejas dalam kejadian banjir, semalam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan tersebut akan diberikan melalui peruntukan daripada Tabung Bencana Negeri Melaka dan setiap rumah yang telah mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menerima bantuan tersebut.

“Saya ingin menyeru semua mangsa banjir yang terkesan supaya kekal tenang dan sabar. Kerajaan negeri komited untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menangani masalah banjir di Masjid Tanah.

“Saya bersama keluarga serta seluruh pentadbiran kerajaan negeri amat mengambil berat tentang perkara ini. Kami sedang berusaha memastikan pendekatan baharu dapat diambil untuk menyelesaikan masalah banjir di kawasan Masjid Tanah dan Melaka secara menyeluruh,” katanya dalam satu siaran media semalam.

Beliau turut menggesa semua mangsa banjir segera mendaftar di PPS yang dibuka bagi melancarkan urusan pendaftaran dan penyaluran bantuan.

Setakat pukul 6 petang, sebanyak enam PPS dibuka di Masjid Tanah bagi menampung mangsa dari kawasan terjejas seperti Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung Ayer Limau, Kampung Sungai Jernih, Kampung Lekok, Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Rantau Panjang, Kampung Berisu, Taman Awan Biru dan Taman Seri Bayu 2 & 3.

Enam PPS yang dibuka termasuk PPS Balai Raya Paya Lebar, PPS Bangunan PERKIM (Lendu), Balai Raya Kampung Ramuan China Besar, PPS Balai Raya Ayer Paabas, PPS SK Sungai Jernih dan PPS Dewan Masjid Ar-Rasyidin.

Show More

Related Articles

Back to top button