Berita SemasaPM X

China akan beri sokongan jayakan NIMP 2030 – PM Anwar

NANNING – China akan memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia dalam menjayakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, China turut menyambut baik dengan cadangan Asian Monetary Fund (AMF) sebagai pemberi pinjaman pilihan terakhir kepada rantau ini semasa krisis kewangan berlaku.

“Pemimpin China memandang tinggi dan menyokong Malaysia Madani dan konsep AMF,” kata Anwar kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat, Li Qiang hari ini.

Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan kerja beliau ke bandar raya ini bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.

Menurut Anwar, terdapat potensi besar bagi ASEAN dan negara-negara Campur Tiga termasuk China untuk berusaha ke arah cita-cita ideal dibayangkan di bawah AMF yang pernah dicadangkan selepas Krisis Kewangan Asia.

“Mewujudkan AMF, walaupun bercita-cita tinggi, adalah usaha yang patut diteruskan untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kewangan di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar Ibrahim sekali lagi menjemput Presiden China, Xi Jinping dan Li Qiang, untuk mengadakan lawatan negara dan lawatan rasmi tahun depan ke Malaysia, sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2024.

Kata beliau, sempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara berkenaan pada tahun depan, pelbagai aktiviti sedang dirancang bersama untuk dilaksanakan di Malaysia dan China.

Show More

Related Articles

Back to top button