Industri nadir bumi sumber pertumbuhan baharu negara
KUALA LUMPUR – Industri nadir bumi (REE) akan dibangunkan sebagai sumber pertumbuhan baharu yang dijangka mampu menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada Kadar Dalam Negara kasar (KDNK) negara pada tahun 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri tersebut bakal mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan baharu.
“Bagi mencapai sasaran ini, Dasar Mineral Negara baharu akan dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.
“Kebijakan ini akan dijadikan panduan dalam melaksanakan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan.” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Industri tersebut yang menggunakan bahan berasaskan unsur nadir bumi bukan radioaktif, mampan dan mesra alam, merupakan komponen penting dalam pembuatan bateri, super magnet dan alatan elektronik.
Anwar menambah, pemetaan terperinci sumber unsur nadir bumi dan model perniagaan menyeluruh yang menggabungkan industri huluan, pertengahan dan hiliran akan dibangunkan bagi mengekalkan rantaian nilai nadir bumi di dalam negara.
“Oleh itu, Kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara,” katanya lagi.