Berita Semasa

Kampus baharu Universiti Antarabangsa Quest dijangka mampu tampung 6,000 pelajar

PETALING JAYA – Kampus baharu Universiti Antarabangsa Quest (QIU) milik Konglomerat multinasional, Kumpulan QI dijangka akan mampu menampung sehingga 6,000 pelajar apabila ia beroperasi sepenuhnya.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI, Datuk Seri Vijay Eswaran, pembinaan kampus baharu itu dijangka akan menelan belanja sebanyak antara RM120 juta hingga RM150 juta.

Katanya, projek berkenaan akan bermula pada separuh kedua tahun depan yang dijangka akan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Menurut Vijay lagi, pelaburan bagi pembinaan kampus QIU adalah untuk menyokong usaha memupuk dan mendidik bakal pemimpin pada masa akan datang. 

“Seperti yang sering saya tekankan, pendidikan berfungsi sebagai landasan utama untuk melahirkan legasi yang cemerlang. Melalui pembinaan kampus jni, dapat menyediakan peluang yang sama rata kepada pelajar, di samping menjana prospek pekerjaan yang bermakna di wilayah Gunung Lang.

“Kekuatan sebenar pendidikan tinggi bukan sahaja terletak pada ilmu yang disampaikan tetapi transformasi yang bermakna kepada individu dan masyarakat. Peninggalan legasi bermaksud dapat mencipta impak positif yang melangkaui sempadan masa dan memperbaiki kehidupan masyarakat tempatan.

“Melengkapkan komitmen terhadap pendidikan mampu milik, program biasiswa Kumpulan QI telah memperkasakan beribu-ribu pelajar yang layak sejak 2017 dengan menganugerahkan jutaan ringgit dalam bentuk biasiswa,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis memeterai langganan Sukuk Ijarah  di antara Kumpulan QI dan BPMB di sini, semalam.

Yang Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Roni Abdulwahab dan Canselor Universiti Antarabangsa Quest, Tun Arifin Zakaria.

Sementara itu, Roni Abdulwahab, berkata kampus baharu seluas 10 ekar itu akan dibina dengan kemudahan terkini untuk mempromosikan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Pihak BPMB akan memastikan semua pembiayaan akan memberikan impak sosial, ekonomi dan alam sekitar melalui rangka kerja menilai tahap terhadap Pembangunan Negara (MIND).

“MIND melengkapkan penilaian kredit kami dan pembangunan kampus baharu di Ipoh yang menyediakan ruang untuk pembangunan berimpak tinggi dan pada masa yang sama meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, melalui pembinaan universiti ini, pihaknya memenuhi misi untuk menyediakan peluang yang sama rata kepada semua pelajar.

“Pembangunan kampus  dapat menjana prospek pekerjaan yang bermakna di wilayah Gunung Lang, Ipoh. Inisiatif ini berfungsi untuk mengurangkan jurang dalam pembangunan antara wilayah yang berbeza dalam negeri tersebut,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button