Berita Semasa

Peguam Negara perlu jelaskan keputusan lepas tanpa bebas Ahmad Zahid – Anthony

CYBERJAYA – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu membuat penjelasan terbuka kepada rakyat mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, penjelasan itu perlu dilaksanakan demi prinsip keadilan dan akauntabiliti.

Jelasnya, DAP tetap menghormati proses dan keputusan mahkamah tersebut namun tetap mengambil maklum pandangan kritikal daripada pelbagai pihak dan orang ramai.

“Penjelasan ini adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.

“DAP juga akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah,” kata Anthony dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Show More

Related Articles

Back to top button