Harmoni akan diaktifkan semula – Mohd Na’im
PUTRAJAYA – Jawatankuasa Keharmornian Antara Penganut Agama (Harmoni) akan diaktifkan semula sebagai medium perbincangan antara pemimpin agama bagi menyelesaikan persoalan berkaitan agama serta kaum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan secara bersama antara beliau dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan dianggotai pemimpin agama utama dalam negara.
Untuk rekod, jawatankuasa itu ditubuhkan sejak 14 Ogos 2020 namun tidak aktif sejak kebelakangan ini.
“Jawatankuasa Harmoni ini diharapkan dapat berfungsi sebagai badan perundingan rasmi bagi para pemimpin agama utama di Malaysia memberikan input terbaik dan mencadangkan program yang praktikal untuk dilaksanakan demi memperkukuhkan persefahaman serta keharmonian hidup beragama dalam kalangan masyarakat,” kata Mohd Na’im.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar Majlis Muhibbah Merdeka Bersama Pemimpin-pemimpin Agama, di sini hari ini.
Beliau turut menambah, pihaknya akan melaksanakan program libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi proses pengaktifan jawatankuasa itu pada kadar segera.
Sementara itu, sebanyak 20 wakil daripada pelbagai pertubuhan utama berasaskan agama dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia, hadir pada majlis hari ini.
Antaranya, wakil pertubuhan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism, Buddhist Association, Christian Federation Malaysia, Malaysia Hindu Sangam, Sikh Federation dan Persatuan Tao Malaysia.
Mohd Na’im berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah memperkasakan program Dialog Antara Tamadun sebagai pendekatan bagi memperkukuhkan keharmonian hidup beragama dalam kalangan masyarakat Malaysia.