Berita Semasa

Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional akan dipercepat – PM

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) yang akan memastikan transaksi dalam talian dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat akan dipercepatkan.

Perdana Menteri berkata, projek itu yang dibangunkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu.

“IDN apabila siap kelak akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital yang boleh diyakini untuk pengesahan maklumat individu semasa mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan.

“Ia akan memastikan transaksi dalam talian adalah dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang pertama bagi tahun 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam untuk
memastikan kemajuan digital yang mapan dan memacu agenda transformasi digital negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang pertama bagi tahun 2023.

Anwar berkata, pelaksanaan IDN ini adalah antara inisiatif di bawah Teras Memacu Transformasi Digital Sektor Awam di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, seiring dengan hasrat Ekonomi Madani untuk mengangkat negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, menyentuh mengenai mesyuarat itu, Anwar berkata, mesyuarat ini dianggotai barisan menteri selaku Pengerusi Kluster dan inisiatif ekonomi digital serta ahli lantikan yang terdiri daripada wakil sektor swasta, industri, akademia, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil yang telah dipilih melalui permohonan terbuka.

Beliau berkata, majlis ini berperanan untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif terkait agenda transformasi digital negara.

“Malaysia menyasarkan untuk berada di kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang tahun 2030 serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau. Sehubungan itu, majlis telah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan.

“Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran.

“Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan inisiatif single window untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi, terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan membuat keputusan. Inisiatif ini menetapkan sasaran
mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang tahun 2025,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button