PN kemuka 56 calon PRN 2023
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihanraya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan oleh pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menyaksikan beberapa penampilan muka baharu, lama dan pertukaran kerusi.
Antara yang menarik adalah pertukaran kerusi bekas menteri besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari BUN Bukit Antarabangsa ke kerusi Hulu Kelang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu akan berdepan dengan Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli.
Mohamed Azmin pernah menjadi Adun Hulu Kelang pada 1999 namun tewas pada 2004 kepada calon BN.
Sementara itu, calon yang sebelum ini tersungkur di Parlimen Sepang, Datuk Seri Rina Harun membuat kemunculan semula di kerusi DUN Batu Tiga.
Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dijangka berdepan calon Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al Rashid Haron dan Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Pengumuman malam ini tidak mengetengahkan calon veteran yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Bagaimanapun, dalam pencalonan muka-muka baharu menyaksikan anak perempuannya, Nurul Syaz-wani bertanding di DUN Permatang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 29 Julai sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos dan Hari Mengundi pada 12 Ogos depan.