Berita Semasa

Bakal calon diingatkan patuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 – SPR

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengingatkan semua bakal calon yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan.

“Setiap bakal calon hanya boleh diiringi oleh seorang pencadang dan penyokong calon untuk dibenarkan masuk ke pusat penamaan.

“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter (m) dari sempadan pusat penamaan yang telah ditetapkan,” kata Ikmalrudin dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi proses penamaan calon, kertas penamaan pencalonan boleh dikemukakan dari pukul 9 hingga 10 pagi kepada kepada Pegawai Pengurus di 173 pusat penamaan calon ditetapkan, Sabtu ini.

Kertas tersebut mesti dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong, mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

“Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding dalam PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan sebelum hari penamaan calon,” katanya lagi.

Jelasnya, bakal calon turut disarankan membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran perlu dibawa pada hari penamaan sebagai bukti pembayaran.

Bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik turut diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

“Setiap bakal calon hanya boleh diiringi oleh seorang pencadang calon dan penyokong calon untuk dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon. Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada hari penamaan calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakili.

SPR menetapkan penamaan calon bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada Sabtu ini manakala 12 Ogos ini sebagai hari mengundi.

PRK Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan pada hari sama.

Hari mengundi awal pula pada 8 Ogos ini.

Show More

Related Articles

Back to top button