Industri halal mampu perkukuh hubungan Malaysia-Filipina
PUTRAJAYA – Malaysia dan Filipina akan mengadakan kerjasama dalam industri halal sebagai satu usaha memperkukuh hubungan hala kedua buah negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan antara perkara yang dibincangkan bersama Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr dalam pertemuan empat mata di bangunan Perdana Putra, hari ini.
Kata Anwar, industri tersebut mempunyai potensi besar untuk dikembangkan menerusi kerjasama komuniti perniagaan kedua-dua negara.
“Negara mengambil pengalaman bagaimana tindakan FIlipina meningkatkan sektor ekonomi pasca Covid-19 di bawah kepimpinan Presiden, dan ini akan mengukuhkan kolobrasi hubungan dagangan dua negara.
“Kedua-dua pihak berbincang tentang potensi industri halal berkaitan isu pensijilan halal, jadi kita perlu mengambil tindakan bersama untuk memastikan supaya industri ini boleh menembusi pasaran ke Asia Barat,” katanya dalam sidang akhbar bersama di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Terdahulu, Marcos Jr. diberikan sambutan negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara dan menghadap Seri Paduka disusuli satu majlis santapan negara bagi meraikan beliau dan delegasi.
Dalam peringkat kerjasama antarabangsa dan serantau, kata Anwar, kedua-dua negara sepakat untuk mengukuhkan persefahaman dan kerjasama dalam pelbagai isu berkepentingan bersama.
Pada masa sama, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu Myanmar dengan mengulangi pendirian Malaysia kekal teguh menyokong Konsensus Lima Perkara ASEAN, namun memberi ruang kepada negara-negara jiran untuk menangani isu tersebut dengan cara masing-masing tanpa mengorbankan hak kemanusiaan termasuk etnik minoriti Rohingya.
Beliau dan Marcos Jr. mengambil kesempatan membincangkan penganjuran Malaysia dan Filipina yang akan menjadi tuan rumah mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8, pada akhir tahun ini selain berusaha menterjemahkan memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui bersama dengan memudahkan proses dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.