Berita Semasa

Salahuddin selamat jalani pembedahan – Mahfuz

ALOR SETAR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pagi tadi.

Terdahulu, Salahuddin terpaksa menjalani pembedahan segera akibat mengalami pendarahan otak.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar , beliau telah dimaklumkan oleh pengawal pengiring Salahuddin bahawa Timbalan Presiden Amanah itu telah dikeluarkan dari dewan bedah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan seterusnya.

“Menteri telah selamat menjalani pembedahan pagi tadi. Beliau dimasukkan ke bilik pembedahan sekitar pukul 3.30 pagi dari wad kecemasan.

“Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berlangsung, tapi saya dimaklumkan pembedahan berjaya oleh pengawal pengiring beliau sekitar pukul 8 pagi tadi,” kata Mahfuz kepada Bernama, hari ini.

Mahfuz berkata, Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB, kira-kira pukul 10 malam tadi selepas mengadu berasa tidak sihat ketika berada di hotel penginapannya di sini.

“Beliau sepatutnya menghadiri program ceramah dengan saya, tapi tidak hadir selepas berasa tidak sihat dan kemudian dikejarkan ke wad kecemasan. Program beliau juga agak padat semalam, mungkin beliau juga keletihan,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan Menteri berkenaan dikejarkan ke wad kecemasan kira-kira jam 10.15 malam tadi dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah.

Ahli Parlimen Pulai itu kemudian disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Semalam, Salahuddin menghadiri beberapa program di negeri ini antaranya Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar serta Majlis Perasmian Jelajah Jualan Rahmah Kedah dan Jelajah Townhall bersama Mahasiswa Universiti Utara Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button