Muhyiddin bidas kerajaan guna undang-undang tekan lawan
KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kerajaan yang menggunakan instrumen undang-undang untuk menekan lawan politik mereka.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, langkah itu sama sekali bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan oleh mereka dahulu termasuk untuk menghapuskan Akta Hasutan.
“Saya ingin menegaskan bahawa antara dasar dan prinsip perjuangan PN yang utama ialah untuk menjunjung, memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan. Prinsip ini akan terus dipertahankan.
“Dalam menjunjung semangat ini, saya juga berdoa semoga sahabat saya Datuk Seri Muhammad Sanusi mendapat keadilan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga mengajak seluruh rakyat supaya bersama-sama bermunajat dan mendoakan keselamatan Menteri Besar Kedah itu serta kekal bertenang.