Politik

PRN Selangor medan KJ buat ‘comeback’?

CYBERJAYA – Bekas Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sedang mempertimbangkan untuk membina kerjaya politiknya di Selangor.

Khairy Jamaluddin, yang baru-baru ini dipecat daripada parti UMNO berkata, beliau percaya Selangor adalah “pusat politik” Malaysia.

“Ia adalah sesuatu yang saya sedang pertimbangkan (membuat kemunculan semula),” katanya.

“Saya telah memaklumkan kepada umum bahawa saya telah meninggalkan Negeri Sembilan dan berhijrah ke Selangor. Saya rasa ini adalah pusat politik Malaysia. Di sinilah ia akan berlaku,” kata Khairy Jamaluddin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai KJ berkata demikian dalam satu temubual dengan Channel NewsAsia (CNA), hari ini.

Mengenai apa langkah yang akan beliau lakukan dari segi keahlian parti, KJ berkata, beliau masih mempertimbangkan pilihannya.

“Saya rasa ‘pasaran’ politik agak tepu sekarang, jadi penubuhan parti politik adalah satu pilihan, menyertai parti sedia ada adalah satu lagi pilihan. Saya perlu ambil masa untuk melihat apa yang lebih masuk akal,” katanya lagi.

Beliau turut kesal dengan tindakan pemecatannya daripada parti yang sudah disertainya selama 23 tahun.

“Dari segi politik, parti itu (UMNO) adalah segala-galanya kepada saya. Untuk melihatnya menjadi seperti hari ini adalah tragis dan menyedihkan,” jelasnya.

Beliau berkata, UMNO kini berada pada kedudukan sukar untuk bangkit kembali selepas jatuh ke tahap paling rendah.

“Saya percaya sukar bagi UMNO untuk bangkit bukan kerana mereka menolak saya, tetapi kerana keseluruhan trajektori UMNO sedang menurun,” katanya lagi.

KJ bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk kembali kepada UMNO suatu hari nanti, namun berkata, ia perlu menjadi “parti yang jauh berbeza” sebelum beliau mempertimbangkan untuk berbuat demikian.

“Jika saya kembali kepada UMNO untuk apa yang berlaku hari ini, saya percaya ia akan banyak membuang masa saya,” katanya.

Awal hari ini, Khairy berkata, beliau tidak akan merayu terhadap pemecatannya kerana “tiada gunanya” berbuat demikian.

Dalam temu bual dengan BFM The Breakfast Grille itu, beliau berkata, merayu adalah sia-sia apabila orang yang sama yang mahu dia keluar masih bersama parti itu.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button