Suri rumah rugi RM4 juta terpedaya pelaburan tidak wujud
KUALA LUMPUR: Suri rumah warga emas mengalami kerugian RM4 juta selepas terperdaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan sehingga 380 peratus daripada jumlah pelaburan asal.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata siasatan mendapati wanita berusia 67 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan ketika melayari laman sosial beberapa bulan lalu dan kemudiannya menekan pautan diberikan.
“Mangsa seterusnya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan berkenaan dan diberikan kelas, panduan dan nota berkaitan pelaburan ditawarkan,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.
Terperdaya dengan taktik yang digunakan, mangsa telah membuat transaksi wang kepada 11 akaun syarikat yang diarahkan dan sehingga kini tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti dijanjikan.
Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan polis semalam, dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.