HTAR jalankan siasatan terperinci kematian adik Dea Maisarah
SHAH ALAM: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun ketika mendapatkan rawatan baru-baru ini.
Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, pihaknya bersimpati dengan dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Pesakit telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lalu.
“Keadaan pesakit semasa di HTAR dalam keadaan lemah. Pesakit sudah diberikan rawatan yang sewajarnya oleh pakar perubatan kecemasan, namun, pesakit tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Menurut Dr Zulkarnain, pihaknya bersimpati dengan perkara dilalui keluarga Allahyarham dan akan berhubung dengan pihak keluarga untuk perbincangan lebih lanjut mengenai kes itu.
Kelmarin keluarga kepada Allahyarham Dea Maisarah melahirkan rasa tidak puas hati selepas kanak-kanak tersebut tidak diberikan rawatan awal dan sewajarnya selepas dibawa ke hospital tersebut.
Bapanya mendakwa doktor bertindak mengabaikan anaknya itu lebih kurang 40 minit sebelum kadar oksigen menurun.