Punca kemalangan maut babitkan 7 mangsa di laluan Genting Highlands belum dikenal pasti
KUALA LUMPUR – Punca sebenar kemalangan maut yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 4.8 di laluan turun Genting Highlands-Kuala Lumpur masih belum dikenal pasti.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pihakknya sedang mengenal pasti punca sebenar kemalangan maut tersebut.
Katanya, pihaknya juga sudah menghantar sepasukan penyiasat ke lokasi kejadian untuk siasatan terperinci.
“Setakat ini punca kemalangan masih belum diketahui dan MIROS sedang menjalankan siasatan itu,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Semalam, tujuh mangsa yang maut dalam nahas membabitkan sebuah van persiaran di KM 4.8 Jalan Genting Highlands, disahkan sebagai pemandu van bersama enam penumpang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan, dua daripada yang meninggal dunia adalah lelaki terdiri daripada pemandu dan kelindan van.
“Lima lagi yang meninggal dunia adalah wanita dan mereka adalah penumpang van persiaran berkenaan.
“Enam mangsa termasuk pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa iaitu kelindan van meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Untuk rekod, mangsa yang terkorban ialah pemandu van, Wong Choun Chiet, 49; dan enam penumpang iaitu Foong Ah Lan, 67; Lee Moy, 67; Goh Siew Kim, 61; Ang Meng Hong, 62; Seow Mee Tin, 72; dan Chang Them Kong, 70.